Kontrak 2,070 Pegawai Perubatan, Pergigian Dan Farmasi Disambung
15 APRIL: Seramai 2,070 pegawai kontrak perubatan, pergigian dan farmasi disambung perkhidmatan mereka untuk membantu kerajaan menangani dan memutuskan rantaian penularan wabak COVID-19.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, kementerian amat prihatin terhadap situasi semasa dan suara hati segenap lapisan rakyat serta tanggungjawab besar yang dipikul warga kerja Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di barisan hadapan, dalam menghadapi cabaran besar wabak tersebut.
Katanya, demi kepentingan dan kemaslahatan rakyat, Kerajaan telah meluluskan penyambungan kontrak perkhidmatan (contract of service) Pegawai Perubatan, Pegawai Pergigian dan Pegawai Farmasi di Kementerian Kesihatan Malaysia untuk enam (6) bulan lagi.
“Langkah ini juga sangat bertepatan serta selari dengan matlamat Kerajaan dan KKM untuk menangani dan memutuskan rantaian penularan wabak COVID-19,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kelulusan ini melibatkan penyambungan perkhidmatan kontrak bagi seramai 79 Pegawai Perubatan Gred UD41, 852 Pegawai Pergigian Gred UG41 dan 1,139 Pegawai Farmasi Gred UF41 yang akan diuruskan dari semasa ke semasa.
Dengan keputusan itu kata Dr Adham berkata, kerajaan berharap ini dapat menyediakan peluang kepada pegawai untuk terus berkhidmat serta memastikan penyampaian kesihatan terus berjalan lancar dan memberi banyak manfaat kepada rakyat.
Katanya, keputusan itu melibatkan petugas kontrak Perkhidmatan yang telah/akan berakhir secara berperingkat pada akhir tahun 2019 dan tahun 2020 sahaja.