16 APRIL: Bekas Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian memberi bayangan untuk menyertai Parti Sarawak Bersatu (PSB) selepas mengkaji parti politik lain di negeri itu.
Ahli Parlimen Selangau itu berkata, beliau mendapati perlembagaan parti itu menarik.
Beliau melihat pendirian PSB serupa dengan Parti Warisan Sabah (Warisan) yang berjaya mendapatkan sokongan rakyat Sabah dalam memperjuangkan hak negeri itu.
“Objektif PSB sepadan dengan impian saya dan saya percaya, dengan impian kebanyakan rakyat Sarawak. Yang paling penting, parti itu mempromosikan kepelbagaian kaum dan perpaduan,” katanya.
Baru yang juga bekas menteri Kerja Raya keluar PKR pada akhir Februari ketika puncak krisis politik negara yang menyaksikan PH gagal mempertahankan kerajaan yang dibentuk selepas PRU14.