30 APRIL : Seramai 84 pesakit COVID-19 pulih sepenuhnya dan dibenarkan pulang hari ini, menjadikan jumlah kes pulih kepada 4,171, atau 69.5 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, terdapat 57 kes baru yang dilaporkan setakat jam 12 tengah hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes setakat ini sebanyak 6,002 kes.
Daripada jumlah itu, bilangan kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula sebanyak 1,729 kes.
“Daripada 57 kes baru, 25 adalah kes import, manakala 32 kes melibatkan penularan tempatan,” katanya dalam sidang media harian di Putrajaya, hari ini.
Noor Hisham memaklumkan dua lagi pesakit meninggal dunia, menjadikan jumlah korban kini seramai 102 orang, iaitu 1.7 peratus daripada jumlah kes.
Seorang pesakit berusia 64 tahun, meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Pahang sementara seorang lagi mangsa berusia 72 tahun, meninggal di Hospital Umum Sarawak.