2 MEI: Meskipun Pendatang asing tanpa izin (PATI) antara yang dikuarantin di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), namun mereka tetap tertakluk kepada undang-undang Imigresen.
Menteri Kanan (Pertahanan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata mereka tetap bersalah kerana menceroboh masuk negara ini dan tindakan akan diambil oleh Jabatan Imigresen.
“PATI ini dikuarantin secara wajib dalam PKPD ini. Kita tidak benarkan mereka keluar dan sudah membuat saringan ke atas mereka serta didapati negatif.
“PKPD akan berakhir dan mereka akan dibebaskan tetapi status mereka tidak berubah. Mereka masih PATI dan undang-undang membabitkan PATI tidak berbeza sama ada sebelum atau selepas PKP,” katanya pada sidang media, Sabtu.
Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan Jabatan Imigresen menahan 586 PATI di kawasan PKPD Plaza City One, Malayan Mansion dan kawasan di sekitar Masjid India semalam, yang didakwa sesetengah pihak sebagai tindakan zalim.
Media melaporkan warga asing di sekitar kawasan Masjid India digempur Jabatan Imigresen kira-kira jam 9.30 Jumaat pagi selepas hampir 300 pegawai dan anggota Imigresen mengepung PKPD di Masjid India.
Operasi mengesan warga asing dikatakan mudah dilaksanakan berikutan keseluruhan kawasan yang digempur dipasang kawat duri berikutan perintah PKPD.
Ismail Sabri memaklumkan, PATI berkenaan sudah dibawa ke depoh tahanan imigresen untuk tindakan lanjut. – Oleh ASLINDA NASIR