3 MEI: Kerajaan mengarahkan semua pengendali pengangkutan awam yang beroperasi supaya mengambil separuh sahaja daripada kapasiti penumpang bermula esok.
Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah tersebut adalah prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak berkuasa bagi memastikan penjarakan sosial dapat dilaksanakan di kalangan penumpang.
Selain bas, arahan sama turut melibatkan pengangkutan awam rel seperti MRT (Transit Aliran Massa) dan Transit Aliran Ringan (LRT) manakala pengguna juga perlu mematuhi arahan penjarakan sosial serta menjaga kebersihan.
“Jika sebuah bas boleh muatkan 40 orang penumpang tetapi dalam tempoh PKPB ini, dibenarkan hanya ambil 20 penumpang sahaja. Begitu juga dengan MRT yang perlu membawa separuh sahaja penumpang daripada kapasiti sebenar gerabak.
“Malah, tempat berdiri dalam kenderaan juga perlu letakkan ditanda supaya penjarakan sosial dapat dilakukan,” katanya dalam sidang media harian di Putrajaya, hari ini.
Bagi kenderaan persendirian kata Ismail Sabru, penjarakan sosial bukan isu kerana dijangkakan mereka yang menaiki kereta untuk keluar bekerja adalah individu tinggal di dalam rumah yang sama.
“Bagaimanapun, kerajaan membenarkan hanya maksimum empat penumpang dan dari keluarga yang sama sahaja bagi perjalanan sebuah kereta,” jelasnya.
Pada masa sama, beliau menyatakan sepanjang tempoh PKPB, kerajaan akan terus menempatkan anggota keselamatan di tempat-tempat awam bagi memantau keselamatan serta pematuhan SOP termasuklah di dalam kenderaan-kenderan awam seperti bas dan tren.
Dalam pada itu, Ismail Sabri mengingatkan kepada rakyat supaya tidak mempolemikkan mengenai pelaksanaan PKPB termasuklah di kedai-kedai pakaian kerana SOP yang ditetapkan oleh kerajaan adakah jelas untuk memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19.
Sebaliknya, tegas beliau, semua rakyat perlu tahu bahawa mereka perlu melaksanakan kawalan kendiri dengan disiplin untuk memastikan keselamatan diri masing-masing.
“Saya bagi contoh Taiwan, negara itu tidak penah melaksanakan PKP dan kes jangkitan mereka hanya enam kes sahaja dan yang terendah di dunia.
“Walaupun kes Covid-19 melanda seluruh dunia, namun disiplin rakyat negara itu sendiri yang menentukan keselamatan mereka daripada dijangkiti Covid-19,” katanya.-Oleh YAZID ALIAS