3 MEI: Kerajaan menegaskan tidak memaksa mana-mana peniaga atau pengusaha supaya membuka operasi mereka di bawah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), bermula esok.
Demikian dijelaskan Menteri Kanan (Pertahanan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selain memaklumkan kebenaran beroperasi yang diberikan oleh kerajaan melalui PKPB itu merupakan pilihan kepada sektor ekonomi sama ada mereka mahu membuka atau sebaliknya.
“Esok kita akan mulakan PKPB dan banyak sektor yang akan beroperasi. Tetapi saya nak maklumkan bahawa kerajaan tidak memaksa atau mengarahkan mereka supaya mesti memulakan perniagaan bermula esok, ia terserah kepada pemilik sektor berkenaan.
“Contoh pemilik restoran, kerajaan benarkan buka dan beroperasi tetapi dengan SOP (prosedur operasi standard). Walau bagaimanapun, jika pemilik restoran masih meragui keselamatan (diri dan orang ramai), mereka boleh teruskan peniagaan dengan membungkus makanan untuk dibawa pulang sahaja, tidak perlu menjamu selera di dalam resoran,” katanya dalam sidang media hari ini.
Terdahulu, mengulas lanjut mengenai laporan hari ke-47 pelaksanaan PKP bagi seluruh negara hari ini, Ismail Sabri memaklumkan setakat semalam pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah mengadakan 823 sekatan jalan raya di seluruh negara manakala sebanyak 552,999 pemeriksaan telah kenderaan telah dilakukan.
Selain itu, PDRM dan ATM juga katanya telah melakukan 36,345 pemeriksaan mengejut dengan 5,833 buah premis telah diperiksa oleh pihak berkuasa.
“Pada masa sama, PDRM telah menangkap 414 individu iaitu meningkat berbanding 410 individu sebelum ini kerana ingkar PKP. Jumlah ini merangkumi 407 individu direman manakala tujuh lagi individu dijamin polis.
“Jumlah tangkapan kumulatif ingkar PKP sehingga semalam adalah seramai 23,680 individu,” jelasnya.
Berkenaan dengan kes berita palsu mengenai Covid-19, Ismail Sabri mennyatakan PDRM dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) telah mebuka 255 kertas siasatan.
Daripada jumlah tersebut, 175 kes masih dalam siasatan manakala 26 kes lagi telah didakwa di mahkamah diikuti notis amaran (11 kes) dan 15 kes lagi mengaku bersalah. – Oleh YAZID ALIAS
Get real time updates directly on you device, subscribe now.