3 MEI: Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa mahu pengambilan pekerja asing di pasar borong seluruh negara dihentikan segera.
Ia susulan laporan terdapat lebih 1,000 warga tempatan bekerja di Pasar Borong Selayang ketika ini.
Katanya, beliau sendiri tidak menjangka perkara itu wujud selepas kawasan di sekitar pasar borong itu, yang majoriti dihuni oleh warga asing, dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) berikutan penularan wabak Covid-19.
“Saya terperanjat apabila dilaporkan pada pagi ini di Pasar Borong Selayang ada lebih 1,000 pekerja tempatan. Apabila kita tutup kawasan sekitar yang kebanyakannya melibatkan pekerja asing, maka peniaga pasar borong diminta ambil pekerja tempatan.
“Dilaporkan lebih 1,000 pekerja lebih tempatan bekerja di pasar borong. Persoalannya ada pula orang tempatan yang boleh bekerja. Jadi kenapa sebelum ini ambil pekerja asing?
“Mungkin pekerja asing dibayar (gaji) sesuka hati, tetapi bila pekerja tempatan kena bayar gaji minimum,” katanya pada satu sidang video, hari ini.
Annuar berkata, adalah lebih baik menggunakan pekerja tempatan berbanding pekerja asing yang sebahagiannya bersikap pengotor, tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan bukan warganegara.
“Pada saya itu salah. Kita buktikan ada orang tempatan yang hendak bekerja. Hari ini juga kita sudah mulakan temuduga untuk ambil gelandangan bekerja. Kita suruh mereka bekerja dan ramai yang hendak bekerja. Kita dapat baiki taraf hidup rakyat kita,” katanya.
Katanya, beliau juga tidak mahu melihat mana-mana pasar borong di negara ini, termasuk Pasar Borong Selayang menjadi “Little Myanmar” atau “Little Arakan” dan sebagainya.
Beliau berkata, kawasan Selayang mesti kekal dihuni penduduk tempatan.
Annuar mengakui kenyataannya ini mungkin tidak akan disukai segelintir peniaga, namun katanya, inilah masanya untuk memberi peluang kepada rakyat tempatan.
“Saya tahu ada ‘tauke’ yang tidak suka dengan apa yang saya sebutkan ini ,tetapi takkanlah hendak tengok Chow Kit, Selayang dan tempat lain penuh dengan pendatang asing. Kita mesti berusaha perbetulkan keadaan ini,” katanya.