3 MEI: Kejadian yang menimpa seorang anggota polis pagi tadi yang dirempuh kenderaan pacuan empat roda sehingga maut mendapat perhatian Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau dalam laman sosial Facebooknya meluahkan rasa dukacita apabila mendapat tahu mengenai perkara itu sekaligus mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Saya berasa amat sedih apabila pagi ini menerima berita mendukacitakan mengenai seorang anggota polis terkorban dirempuh sebuah kenderaan ketika bertugas mengawal sekatan jalan raya di Plaza Tol Kajang Selatan.
“Kematian Allahyarham Koperal Safwan Mohammad Ismail merupakan satu kehilangan kepada pasukan PDRM dan negara. Saya bagi pihak kerajaan mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham dan pasukan PDRM,” katanya menerusi posting itu.
Seorang anggota polis maut selepas sebuah pacuan empat roda disyaki dipandu pemandu mabuk, merempuh sekatan jalan raya (SJR) Op Covid-19 di Plaza Tol Kajang Selatan Lebuhraya LEKAS.
Dalam kejadian jam 2.11 pagi itu, Koperal Safwan Muhammad Ismail, meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala dan badan.
Susulan rempuhan yang berlaku itu, kenderaan pacuan empat roda terbabit dipercayai turut terbalik dan menghempap mangsa.
Perdana Menteri turut berharap agar anggota polis yang lain serta frontliners terus komited dalam menjalankan tugas demi negara.
“Saya harap tragedi ini tidak akan mematahkan semangat anggota PDRM dan frontliners yang lain dalam menjalankan tugas.
“Saya mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman,” ujarnya.
Sementara itu, PDRM menerusi Facebook rasminya memaklumkan, jenazah Allahyarham kini berada di Hospital Serdang dan dijangka akan dibawa pulang ke kampung halamannya di Ulu Kinta, Perak untuk dikebumikan – Oleh ASLINDA NASIR