4 MEI : Tinjauan hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di ibu kota menunjukkan aktiviti hampir kembali seperti biasa terutama operasi perniagaan.
Orang ramai dilihat ke kedai elektrik, ‘hardware’ dan gajet seperti telefon bimbit dan laptop untuk membeli barangan.
Di Plaza Low Yat, Bukit Bintang, orang ramai beratur panjang untuk memasuki plaza itu.
Begitu juga dengan D.I.Y Pandan Jaya, Cheras Kuala Lumpur yang turut mendapat perhatian pelanggan pada hari pertama PKPB ini.
Selain itu, terdapat juga gedung kain yang dibuka sekitar Masjid India, namun pelanggan yang berkunjung masih kurang termasuk gedung kain JAKEL.
Bagi galeri tudung Ariani Jalan Bunus yang memulakan operasi seperti biasa, kelihatan masih belum ramai pelanggan.
Menurut salah seorang pekerja yang merahsiakan identitinya, kedai dibuka seperti biasa bermula jam 10 pagi, namun sambutan sangat hambar.
Namun perniagaan kiosk di lorong-lorong berhampiran stesen pengangkutan LRT Masjid India masih belum dibuka.
Ini mungkin peniaga masih lagi mengambil pendekatan berhati-hati susulan penularan wabak covid-19.
Di pasar Chow Kit pula, tiada operasi perniagaan yang dijalankan.
Rata-rata setiap kedai yang beroperasi mematuhi peraturan yang ditetapkan dengan mengambil rekod suhu badan pelanggan dan meminta mereka menulis butiran pada borang yang disediakan.
Ia bertujuan bagi memudahkan pihak peniaga mengenal pasti pelanggan yang keluar masuk ke kedai apabila terkena jangkitan covid-19.
Bagi pasaraya besar seperti TESCO dan Plaza Lowyat, kebanyakan mereka hanya membuka 1 pintu sahaja untuk laluan masuk dan keluar.
Bagaimanapun tinjauan turut mendapati ada di antara masyarakat yang tidak menjaga jarak sosial satu meter, ada juga yang mulai tidak memakai penutup hidung ketika beratur menunggu giliran memasuki pasaraya.
Di Kenanga Wholesale Centre (KWC) pula, ramai pekerja dan pelanggan beratur panjang sehingga di luar pasaraya untuk menunggu giliran sejak pagi tadi.
Namun keadaan beransur pulih pada jam 12 tengahari dengan kawalan pihak polis.
Secara keseluruhan, keadaan ini masih terkawal kerana mungkin kesedaran masih tinggi dalam diri masyarakat setelah menjalani PKP selama dua bulan.– Oleh ASLINDA NASIR