4 MEI:Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang dikuatkuasakan di enam kawasan di Kuala Lumpur sejak akhir Mac serta April lalu telah ditamatkan.
Demikian diumumkan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu sidang media di Putrajaya, petang ini.
Katanya, PKPD di kawasan Menara City One, Malaysian Mansion, Selangor Mansion, sekitar Jalan Masjid India telah berakhir sejak semalam.
Sementara itu, PKPD bagi kawasan Pusat Bandar Utara meliputi Parcel A dan B masing-masing di Jalan 6/3A serta Jalan 9/3A termasuk Pasar Borong Kuala Lumpur telah ditamatkan pada hari ini.
“Selain itu, PKPD yang dikuatkuasakan di Tahfiz An-Nabawiyyah dan sebuah rumah di Batu 23, Kampung Sungai Lui, Hulu Langat termasuklah kawasan Parcel A dan B di Selayang Baru, Gombak masing-masing di Selangor juga ditamatkan sejak semalam,” katanya.
Bagaimanapun, tambahnya penguatkuasaan PKPD bagi kawasan meliputi Parcel C,D, E1.E2,E3 dan F di Pusat Bandar Utara, Kuala Lumpur serta PKPD bagi Parcel C, D, E, F di Selayang Baru, Gombak akan diteruskan sehingga 12 Mei ini setelah mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Mengulas lanjut mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula hari ini, Ismail Sabri mengingatkan orang ramai supaya tidak terkeliru atau menganggap kelonggaran yang diberikan kerajaan dalam tempoh PKPB itu bermakna penguatkuasaan undang-undang juga akan turut dilonggarkan.
Beliau sebaliknya menegaskan bahawa Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) masih lagi dikuatkuasakan sehingga kini.
“PKPB ini sama seperti perintah kawalan pergerakan sebelum ini. Pelanggaran PKPB ini boleh dikenakan tindakan kompaun tidak melebihi RM1,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali,” tegasnya.-Oleh YAZID ALIAS