4 MEI: Ketua Wanita PKR, Haniza Mohd Talha; Timbalan Ketua Cabang PKR Permatang Pauh, Dr. Afif Bahardin dan Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Mohd. Radzlan Jalauddin tersenarai dalam 285 individu yang kenakan tindakan digantung keahlian oleh parti itu.
Selain senarai nama individu yang digantung keahlian, laman web PKR hari ini turut memaklumkan 348 lagi senarai nama individu yang dipecat serta dilucutkan jawatan antaranya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis dan ADUN Batu Lintang, See Chee How.
Jumlah keseluruhan yang anggota PKR yang dikenakan tindakan disiplin seramai 633 orang anggota parti itu termasuk peringkat pemimpin dikenakan tindakan disiplin.
Melihat daripada bilangan tersebut, ianya satu tindakan luar biasa kerana amat jarang sesebuah parti di negara ini mengambil tindakan displin ke atas pemimpin dan anggota parti dalam jumlah begitu ramai dan dalam tempoh singkat.
Apakah hukuman disiplin tersebut seolah-olah PKR sedang membuat ‘pembersihan’ dalam parti itu?.
Ini kerana, sebelum ini Haniza yang juga Adun Lembah jaya dan Dr. Afif (Adun Seberang Jaya) dikecam oleh partinya sendiri kerana didakwa bertemu dengan bekas timbalan presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan bekas Naib Presiden, Zuraida Kamaruddin sebelum ini.
Azmin dan Zuraida sebelum ini meninggalkan PKR ketika konflik politik memuncak pada Februari lalu sehingga menyebabkan pertukaran pentadbiran Kerajaan Persekutuan.
Bagaimanapun, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil dalam satu kenyataan hari ini mengesahkan tindakan disiplin itu yang diluluskan oleh Majlis Pimpinan Presiden PKR yang bemesyuarat pada 21 Mac dan 26 April lalu setelah menerima syor daripada Lembaga Disiplin parti.
Malah katanya, terdapat lima kes di mana Lembaga Disiplin mengeluarkan surat tunjuk sebab dan daripada jumlah itu salah satunya melibatkan Naib Presien PKR, Tuan Chua.-Oleh YAZID ALIAS