6 MEI: Kerajaan tidak akan campur tangan pada hukuman yang ditetapkan mahkamah kepada pesalah yang melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ini kerana jelas Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob keputusan mahkamah itu dibuat berdasarkan perbezaan antara kes-kes berkenaan.
“Mungkin fakta kes berbeza dan majistret memutuskan sedemikian rupa,” katanya pada sidang media, Rabu.
Beliau berkata demikian bagi mengulas isu hukuman tidak konsisten terhadap pelaku.
Sebelum itu, Ismail Sabri ditanya soalan mengapa terdapat pesalah PKP dikenakan denda RM1,000 dan pula lebih rendah daripada itu bagi kesalahan bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit.
Dalam perkembangan berkaitan, ribuan pelajar Malaysia Timur di institusi pengajian tinggi awam dan swasta akan terbang pulang ke kampung masing-masing hari ini.
Sebanyak 3 penerbangan dijadualkan untuk tujuan itu, melibatkan 1 penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA), dan 2 penerbangan dari KLIA ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).
Selain itu, 2 lagi penerbangan dijadualkan dari KKIA ke KIA, dan 3 penerbangan dijadualkan dari KIA ke KLIA.
“Sebanyak 8 penerbangan dijadualkan untuk menghantar pulang 2,297 pelajar,” jelas Ismail Sabri.
Sementara itu, pergerakan pulang pelajar di zon timur Semenanjung ke zon selatan, dan pelajar di zon utara ke zon tengah, akan bermula malam ini melibatkan 600 pelajar.