6 MEI : PAS bersedia untuk mengetuai pentadbiran Kedah bagi menggantikan kerajaan negeri pimpinan PH ekoran pergolakan terbaru membabitkan Adun PKR.
Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah, Ahmad Yahaya, berkata PAS memiliki 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan dengan dua kerusi milik UMNO menjadikan kesemuanya 17 kerusi yang bakal memberi kekuatan kepada parti itu mentadbir Kedah.
“Pada dasarnya, PH telah tempang dan kehilangan majoriti untuk menerajui kerajaan negeri Kedah, perubahan kerajaan negeri sudah tidak dapat dielakkan lagi.
“Malah kecelaruan iklim politik yang dipamerkan PH ini telah memberikan kesan negatif terhadap penumpuan memajukan negeri dan rakyat menerima tempias buruk akibat perbalahan pemimpin PH,” katanya dalam satu kenyataan.
Jelasnya, Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Mahathir tidak lagi mampu untuk mengawal situasi apatah lagi menjernihkan semula keadaan di antara gabungan PH Kedah.
“Kepincangan itu jelas diperlihat apabila Adun, Dr. Robert Ling Kui Ee pada 4 Mei lalu mempertikai keputusan pemecatan timbalannya di Cabang PKR Sungai Petani,” jelasnya lagi.
Beliau yang perkara itu tidak terhenti setakat itu sahaja kerana yakin akan ada beberapa Adun PKR lain akan mengikuti langkah Robert meninggalkan parti sekaligus mengurangkan jumlah kerusi PH.
“Mukhriz hanya mampu melihat tanpa berhak mencatur pergerakan Adun PH daripada PKR kerana dari sudut gabungan, PKR dan BERSATU tidak lagi sehaluan.
“Mukhriz juga dalam keadaan amat lemah kerana daripada 6 Adun Bersatu Kedah, tidak sampai separuh yang berpihak kepadanya,” jelasnya lagi.
Maka disebabkan itu tegas Ahmad, PAS yakin untuk mentadbir Kedah dengan lebih baik memandangkan kredibiliti calon menteri besar dalam kalangan Adun PAS yang mempunyai pengalaman dan rekod bersih sepanjang bersama dalam kerajaan negeri ketika era PAS mentadbir Kedah 2008-2013 lalu.