7 MEI: BERSATU tidak berhasrat kembali menyertai PH selepas meninggalkan gabungan itu pada 23 Februari lalu dan sebarang usaha kearah itu bercanggah keputusan parti.
Perkara itu ditegaskan Ketua Penerangan BERSATU Dr Radzi Jidin sambil menambah bahawa parti tersebut tidak pernah membincangkan perkara berkenaan.
Beliau membuat penjelasan tersebut susulan kenyataan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan Presiden PAN, Mohamad Sabu, yang memberi gambaran seolah-olah BERSATU berminat untuk menyertai semula PH.
Menurut Radzi, Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU sebagai badan eksekutif tertinggi parti dalam mesyuaratnya pada 23 Februari telah memutuskan untuk BERSATU keluar daripada PH dan tidak lagi mempunyai apa-apa hubungan kerjasama dengan gabungan tersebut.
Malah katanya, kenyataan Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang menyeru ahli-ahli BERSATU supaya bekerjasama semula dengan PH adalah pendirian peribadi beliau dan tidak melambangkan pendirian rasmi parti.
Radzi berkata, sebarang usaha untuk membawa BERSATU bekerjasama dengan PH adalah bercanggah dengan keputusan rasmi parti.
“BERSATU juga ingin menegaskan bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad tidak mempunyai kuasa untuk menandatangani Kenyataan Bersama PH, BERSATU dan Warisan Sabah bertarikh 4 Mei 2020 dan ianya tindakan yang bercanggah dengan pendirian parti,” katanya.
Sehubungan itu katanya,menjadi tanggungjawab setiap ahli untuk sentiasa mematuhi keputusan yang dibuat oleh parti serta melaksanakan dasar-dasarnya.