7 MEI: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sidam, Robert Ling Kui Ee mengakui dia kecewa berikutan tindakan PKR Pusat yang memecat dan menggantung keahlian beberapa anggota parti itu di saat negara berdepan wabak Covid-19.
Ini kerana bagi Robert tindakan itu jelas memperlihat yang parti itu hanya meletakkan kepentingan politik di hadapan berbanding isu kritikal yang melanda dunia ketika ini.
“Saya memang rasa kecewa dengan apa yang dilakukan pusat. Ini bukan masa yang sesuai, sekarang kita sibuk melawan covid-19, dalam bulan Ramadan lagi.
“Sepatutnya mereka bukan sibuk berpolitik, bukan masa untuk gantung sana sini, memang tak kena masa dan saya tak sangka Pusat akan ambil keputusan drastik sebegini,” katanya kepada PNBBC portal.
Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan PKR Pusat yang sebelum ini memecat 348 ahli dan pemimpin termasuk dua wakil rakyat kerana didapati melanggar etika dan disiplin parti.
Seramai 285 ahli juga dikenakan tindakan digantung sementara keahlian mereka.
Mengulas lanjut, Robert mengakui akur pada keputusan yang dibuat dan dia sendiri tidak akan menyerah diri untuk berunding pada perkara yang telah diputuskan.
Apa yang penting jelasnya lagi, tanggungjawab akan tetap diteruskan sebagai ADUN untuk menghulurkan bantuan kepada penduduk di kawasannya.
“Saya tetap buat yang terbaik untuk rakyat saya. Walaupun saya dipecat, saya tak akan berhenti untuk menghulurkan bantuan kepada rakyat. Kecewa tu kita letak tepi, saya harap rakyat menjaga penjarakan sosial dengan orang lain bagi menurunkan wabak covid-19,” ujarnya lagi. – Oleh ASLINDA NASIR