9 MEI : Sudah masanya rakyat melupakan agenda individu tertentu kerana soal pembelaan rakyat serta memulihkan negara dalam keadaan baik harus diutamakan.
Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa, berkata rakyat tidak perlu diheret untuk menerima kesan drama yang dibawa oleh satu atau dua ahli politik sejak tahun 80-an.
“Cukuplah negara bergolak dan rakyat menderita kerana drama satu dua orang. Sejak 80an hingga sekarang. Lupakan individu.. Mari Kita bergerak ke hadapan bela rakyat dan pulihkan negara,” katanya menerusi akaun Twitter, Sabtu.
Kenyataan Ahli Parlimen Ketereh itu dipercayai merujuk usul tidak percaya kepada Perdana Menteri yang mahu dibawa Tun Dr Mahathir Mohamad ke Dewan Rakyat.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Shafie Apdal dilaporkan mengemukakan usul percaya kepada Tun Dr Mahathir Mohamad.
Bagaimanapun ia ditolak oleh Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Mohd Yusof.
Namun beliau menerima usul Dr. Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi untuk membawa usul tidak percaya kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin pada persidangan Dewan Rakyat 18 Mei ini.