10 MEI: Polis telah merakam kenyataan selebriti Patrick Teoh atas tuduhan telah menghina Putera Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Peguam Rajan Navaratnam yang mewakili Teoh, berkata juruhebah terkenal itu didakwa telah berkongsi semula video lama Tunku Ismail dan yang lain yang berpakaian tentera dan mengendalikan senjata api.
Teoh didakwa telah menghamburkan kata-kata kasar ketika berkongsi video itu di akaun Facebooknya pada hari Khamis.
Memetik laporan The Star, Rajan berkata suatu laporan polis telah dibuat terhadap hantaran itu yang nampaknya telah dipadam.
Polis telah merampas komputer riba milik Teoh selepas beliau memberikan kenyataannya di Petaling Jaya malam ini.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, siasatan sedang dijalankan oleh polis Johor.
Kes disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia kerana penggunaan rangkaian yang tidak betul.