11 MEI: Pengerusi Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh secara rasmi dilantik sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka yang baru.
Perkara itu diputuskan dalam Persidangan Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ke-14 yang dipengerusikan sementara oleh ADUN Rim, Datuk Wira Ghazale Muhamad sebentar tadi.
Pelantikan Ab Rauf diterima selepas mendapat sokongan majoriti 16 daripada 17 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional (PN), manakala semua wakil pembangkang pula tidak hadir.
Usul pelantikan itu dibacakan Ketua Menteri, Datuk Sulaiman Md Ali dan disokong ADUN Asahan, Datuk Seri Abd Ghafaar Atan dan mendapat sokongan 15 ADUN kerajaan yang lain.
Terdahulu, rakan media yang membuat liputan disana memaklumkan, persidangan DUN Melaka di Seri Negeri hari ini terpaksa ditangguhkan selepas berlakunya kekecohan dan perang mulut antara wakil rakyat pembangkang dan kerajaan.
Persidangan yang bermula jam 9.30 pagi itu kecoh apabila ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron mendakwa Speaker DUN, Omar Jaafar tidak layak berada di kerusi itu kerana tidak mendapat sokongan majoriti ahli Dewan.
Perang mulut di antara mereka berdua terus berlanjutan setelah Idris melemparkan buku peraturan dewan ke arah Omar sebelum beberapa wakil rakyat pembangkang turut bangun hingga dewan gamat.
Malah ada di antara mereka yang meminta supaya bekas Ketua Menteri Melaka itu dihalau keluar kerana menghina Dewan yang baharu berlangsung kira-kira 30 minit.
Dewan semakin panas setelah Omar memaklumkan usul pihak kerajaan untuk menukar pengerusi persidangan ditolak oleh Speaker.
Dalam masa sama, ADUN Bebas Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee turut didakwa diprovokasi oleh ADUN DAP Kota Laksamana, Low Chee Leong sehinggakan kedua-dua wakil rakyat itu terpaksa ditenangkan oleh wakil rakyat lain sebelum bentara datang.
Selain itu, media juga tidak dibenarkan membuat sebarang liputan dalam dewan ketika sidang Dun sedang berlangsung termasuk tidak ada sebarang siaran langsung dipaparkan.
Difahamkan hanya media rasmi sahaja dibernarkan membuat lipusan hari ini.
Kerajaan PH Melaka tumbang pada 2 Mac lalu selepas dua daripada Adun mereka menyokong pembentukan PN yang kemudian menguasai kerusi DUN dengan 17 wakil.
DUN Melaka mempunyai 28 kerusi.