11 MEI: Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, beliau akan berbincang dengan Pengurusan serta Ahli Lembaga Pengarah TNB untuk mendapat gambaran lebih jelas berkaitan hala tuju TNB dalam usaha menempatkan diri sebagai ‘Top 10 Power Utility’ menjelang tahun 2025.
Beliau yang akan memulakan tugas sebagai Pengerusi TNB esok juga akan mendapatkan maklum balas hala tuju serta perancangan kini dan masa hadapan TNB daripada pihak pengurusan sedikit masa lagi.
“Namun, apa yang telah diberitahu secara ringkas, saya serba sedikit memahami rintangan serta cabaran yang dihadapi oleh TNB pada masa kini dengan pelaksanaan MESI 2.0 yang menyebabkan TNB terpaksa bersaing dengan pemain-pemain industri tenaga di dalam mahupun di luar negara sehingga mendorong TNB melaksanakan inisiatif ‘Reimagining TNB’ demi kelangsungan perniagaan,” kata Mahdzir.
Beliau berkata demikian dalam perutusan khas bersempena dengan pelantikannya sebagai Pengerusi TNB yang berkuatkuasa esok.
Mahdzir turut mengucapkan sterima kasih dan amat berbangga dengan TNB yang turut menyumbang kepada kerajaan dan negara melalui pelbagai mekanisma seperti memperkukuh sistem bekalan elektrik ke hospital-hospital yang menjadi pusat perubatan bagi menangani wabak COVID-19.
“TNB juga telah melaksanakan pemberian diskaun penggunaan elektrik kepada hampir tujuh juta rakyat Malaysia dengan memperuntukkan diskaun berjumlah RM1,024.7 juta bermula April hingga September 2020. Syabas dan tahniah saya ucapkan,” ujarnya.
Katanya, TNB juga telah mula menggerakkan pelan ‘Return To Work’ secara berperingkat mulai 4 Mei lalu selepas sebahagian besar melaksanakan kerja dari rumah sebelum ini susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Walaupun sebilangan besar anggota kerja TNB terkesan dengan arahan PKP, terdapat juga sebahagian daripada kita yang dikenalpasti sebagai ‘Essential’ yang harus hadir bekerja demi kepentingan negara dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan seterusnya memastikan bekalan elektrik negara berada dalam keadaan stabil sepanjang PKP,” tambahnya.