13 MEI: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan meneliti perisytiharan harta dibuat bekas Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berhubung siasatan kehilangan wang dalam peti simpannya Mac lalu .
Turut diteliti perisytiharan harta oleh ibu bapanya susulan dakwaan Syed Saddiq wang lebih RM200,000 yang hilang dari kediaman itu di Petaling Jaya, 29 Mac lalu adalah milik peribadi mereka bertiga.
Sumber berkata, Ketua ARMADA Bersatu itu sepatutnya menyerahkan perisytiharan minggu lalu tetapi ibu bapanya meminta SPRM memanjangkan tempoh tersebut.
PNBBC portal difahamkan, SPRM memberi tempoh dua minggu lagi dan mereka sudah menyerahkan perisytiharan itu hari ini.
Menurut sumber, SPRM akan meliti perisytiharan tersebut bagi meneruskan siasatan terhadap Ahli Parlimen Muar itu.
Namun demikian katanya, sebarang penipuan daalm perisytiharan merupakan suatu kesalahan di bawah Seksyen 36(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
Sebelum ini, SPRM sudah memanggil Syed Saddiq ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa 1, untuk dirakam keterangan berhubung kejadian itu.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan siasatan kes itu diteruskan namun enggan mengulas lanjut.