13 MEI : Lima pesakit Covid-19 yang menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) Hospital St Petersburg maut selepas ventilator yang digunakan terbakar.
Agensi berita Rusia berkata, kebakaran itu berpunca daripada litar pintas pada ventilator tersebut.
Kebakaran dapat dikawal dan seramai 150 orang pesakit telah dipindahkan dari hospital berkenaan, kata Kementerian Kecemasan.
Setakat ini jumlah pesakit yang cedera belum diketahui.
Semua pesakit yang meninggal dunia itu menggunakan alat bantuan pernafasan.
”Ventilator itu telah bekerja melebihi hadnya. Petunjuk awal mendapati ia melebihi muatan dan terbakar. Itulah penyebabnya,” kata sumber di Jabatan Kecemasan St Petersburg kepada agensi berita Interfax.
Tragedi itu berlaku ketika Rusia baru sahaja melonggarkan peraturan sekatan perjalanan kepada rakyatnya yang mana pekerja pembinaan, pertanian dan kilang dibenarkan bekerja semula.
Rusia kini mempunyai jumlah jangkitan ketiga tertinggi di seluruh dunia.
Semalam, ia melaporkan kenaikan harian sebanyak 11,656 kes, menjadikan jumlah rasmi sebanyak 221,344 kes.
Ini bermakna Rusia kini mempunyai lebih banyak kes yang disahkan Covid-19 daripada Itali dan United Kingdom.
Sementara itu, Pandemik Covid-19 kini sudah meragut lebih daripada 290,000 nyawa di seluruh dunia.
Secara keseluruhan, 290,477 kematian telah didaftarkan, dengan Eropah menyumbang sebanyak 159,205 kematian.
Amerika Syarikat adalah negara yang paling teruk terjejas dengan 82,105 kematian, diikuti Britain (32,692), Itali (30,911), Perancis (26,991) dan Sepanyol (26,920).
Sementara itu, 4.23 juta kes dilaporkan dari lebih 180 negara dan wilayah di seluruh dunia.