BAPA borek anak rintik’. Mungkin boleh digambar apa yang berlaku di Kedah sekarang. Sama-sama dua kali menduduki kerusi ketua kerajaan. Bapa dua kali bergelar perdana menteri.
Anaknya juga dua kali bergelar Menteri Besar. Rekod serupa. Ini bermakna seri. Cuma legasi bapa lebih panjang bagi sesi pertama bergelar perdana menteri.
Tun Dr Mahathir Mohamad menduduki kerusi perdana menteri pusingan pertama 1981-2003. Selama 22 tahun mengetuai pentadbiran negara.
Sebaliknya tempoh 22 bulan pula bergelar perdana menteri pusingan kedua.
Manakala Datuk Seri Mukhriz Mahathir pula dilantik Menteri Besar pusingan pertama pada 6 Mei 2013. Kemudian meletak jawatan pada 3 Februari 2016. Kira-kira 2 tahun 9 bulan (33 bulan) bergelar menteri besar.
Dan sekali lagi dilantik menteri besar pada pada 11 Mei 2018. Dan sekarang genap dua tahun ‘bertakhta’ sebagai menteri besar. Hari ini pula genap 2 tahun 5 hari.
Mukhriz juga dikatakan atara faktor kerajaan PAS Kedah tumbang pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2013. Ada juga hubungkait dengan legasi Dr Mahathir ketika itu.
Begitu juga tumbang kerajaan BN pada PRU 2018 di peringkat persekutuan juga indikatornya Dr Mahathir.
Politik anak beranak menjadi aura seketika. Lebih-lebih lagi Kedah dianggap gelanggang dan bentang akhir Dr Mahathir.
Dr Mahathir meletak jawatan pada 2003 selepas BN dikejutkan gelombang reformasi pada 1999. BN hilang Terenganu dan Kelantan terus kekal di tangan PAS ketika itu.
Banyak kerusi dominasi pengundi Melayu juga ditembusi PAS di Selangor, Perak, Negeri Sembilan, Pahang dan Johor.
Akhirnya Dr Mahathir menawarkan diri meletak jawatan pada 2003. Beliau muncul sebagai seorang negarawan. Berjiwa besar mengambil tanggungjawab kemerosotan BN pada PRU 1999.
Rakyat mengenangnya sebagai Bapa Putrajaya, KLCC dan Litar Sepang. Semuanya muncul di era pentadbirannya.
Sebaliknya ketika round kedua, jasa Dr Mahathir tidak sempat dicatat. Kemelut dalaman Pakatan Harapan (PH) menghilangkan fokus perdana menteri.
Kemuncup di stoking begitu banyak. Lebih-lebih lagi usaha menurunkannya dari kerusi perdana menteri berlaku sepanjang masa.
Tempoh 22 bulan bergelar perdana menteri, usaha menobatkan Anwar Ibrahim tidak pernah berhenti.
Bakal perdana menteri ke-8 diulang-ulang hampir setiap hari. Kemelut yang berlaku itu membuatkan Dr Mahathir seperti hilang fokus.
Ditambah pula penduduk bukan Melayu semakin berani mencabar ketuanan Melayu dan agama Islam.
Mempersendakan Raja-raja Melayu dan agama seperti mainan.
Kemelut yang berpanjangan itu akhirnya Dr Mahathir tewas. Beliau meletak jawatan selepas diasak bertubi-tubi orang Anwar.
Begitu juga Mukhriz tidak sempat menghabiskan tempoh ketua kerajaan Kedah pusingan pertama kerana krisis dalaman Umno.
Jawatannya sebagai Menteri Besar Kedah ke-13 terkubur di tengah jalan. Juga berlaku krisis dengan Presiden Umno ketika itu. Mukhriz tidak berkiblat kepada Najib Tun Razak.
Bapanya antara pemimpin yang tegar menyangah Najib. Isu 1MDB antara faktornya. Di Kedah juga ramai Adun BN pendukung Najib.
Akhirnya pada 2 Februari 2016 kemelut politik Kedah yang berlarutan hampir dua minggu berakhir. Tempat Mukhriz sah digantikan pemimpin lain.
Adun Bakar Bata Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dilantik sebagai Menteri Besar Kedah yang baru.
Ketika itu belum sempat undi tidak percaya dibawa ke persidangan Dun. Mukhriz terpaksa akur selepas campur tangan Jemaah Pemangku Sultan Kedah.
Dan hari situasi serupa berulang. Mukhriz tidak sebulu dengan perdana menteri.
Politik Mukhriz menyonsang arus dalam Bersatu
Mukhriz juga mahu kekal bersama PH sedangkan keputusan muktamad, Bersatu sudah mufarakah dengan PH.
Normal politik baharu yang cuba dipertahankan Mukhriz tidak mampu dipertahan.
Empat Adun Bersatu Kedah akhirnya tampil. Mereka menyatakan dukungan kepada Presiden Bersatu.Antaranya Adun Ayer Hangat, Juhari Bulat. Beliau berterus terang supaya kepimpinan Bersatu negeri sealiran di peringkat pusat.
Begitu juga Adun Kuah, Firdaus Ahmad. Tindakan tidak menyokong Mukhriz dianggapnya bukan pengkhianatan. Ini kerana empat Adun terbabit masih bersama Bersatu proksi Muhyiddin.
Sebelum itu dua Adun PKR lebih awal mengisytiharkan keluar parti. Adun Lunas Azman Nasrudin dan Adun Sidam Dr Robert Ling Kui Ee menyatakan sokongan kepada Perikatan Nasional (PN).
Ini bermakna PH sekarang hanya tinggal 13 Adun daripada Bersatu, PKR dan PAN.
Sebaliknya PN sekarang didukungi 23 Adun iaitu 15 daripada PAS, Bersatu (4), Umno (2) dan dua bekas Adun PKR.
Berdasar perkembangan sekarang Mukhriz tidak mampu lagi mempertahankan kedudukan.
Ternyata ia mengulangi apa yang berlaku di Johor, Melaka dan Perak. Inilah normal baharu yang gagal ditelaah Mukhriz.
Legasi Dr Mahathir nampaknya ansur-ansur tenggelam. – HARAKAHDAILY 14/5/2020