15 MEI: Hanya berbaki tiga hari lagi untuk Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) membuat permohonan maaf secara terbuka dan membayar RM30 juta kepada Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba selepas tuduhan berhubung kontrak Perolehan Darurat bagi pelaksaaan Lab Mitigaton Solutin For Covid-19.
Peguamnya, Nasser Yusof berkata jika mereka gagal berbuat demikian, pihaknya akan memfailkan writ saman ke Mahkamah Tinggi dan C4 sebagai defendan bertangungjawab mengemukakan bukti-bukti di mahkamah bagi menunjukkan kebenaran terhadap tuduhan yang dilemparkan.
“Kita hanya tunggu sehingga 7 hari sahaja, kita menuntut 2 perkara daripada C4, iaitu membuat pembayaran RM30 juta dan membuat permohonan maaf secara terbuka pada sidang media. Jika tidak kita akan keluarkan saman kepada mereka,” katanya ketika dihubungi PNBBC portal.
Terdahulu, C4 mengeluarkan kenyataan bahawa Adham mempunyai kaitan dengan syarikat Khazanah Jaya Sdn Bhd (KJSB) yang memperoleh kontrak secara Perolehan Darurat bagi pelaksaaan Lab Mitigaton Solutin For Covid-19.
Perkara itu kemudiannya dinafikan oleh pejabat Menteri Kesihatan yang menyifatkan tuduhan yang dibuat oleh NGO itu sebagai berniat jahat dan cuba melakukan pembunuhan karakter.
Malah, kenyataan itu turut memberitahu, Dr Adham tidak pernah mempunyai sebarang kepentingan perniagaan dalam KJSB atau pemegang saham syarikat terbabit.
Menurut Nasser, notis tersebut diserahkan ke pejabat C4 di 8 Avenue, Seksyen 8 olehnya bersama dan Mohd Fauzi Abd Samad dari Tetuan Lacmof Lawyers serta disaksikan Setiausaha Politik Dr Adham, Datuk Shamsul Najmi Shamsuddin. – Oleh ASLINDA NASIR