16 MEI: Kerajaan tidak membenarkan sebarang kenaikan caj pengangkutan awam sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pertimbangan kerajaan adalah berikutan harga minyak yang rendah ketika ini.
“Mesyuarat membuat keputusan kita tidak benarkan pengangkutan awam naikkan caj tambang pada waktu ini, tak kira bas, feri atau apa saja. Pertimbangan kita kerana harga minyak sudah rendah.
“Kalau harga naik, berebutlah naikkan harga, tapi bila harga turun, tiada siapa mahu turunkan harga.
“Kita faham mereka terpaksa membawa separuh saja penumpang. Kerugian mereka boleh ditampung dengan harga minyak yang rendah ketika ini,” katanya pada sidang media harian selepas mesyuarat menteri-menteri di Putrajaya, hari ini.
Beliau berkata, aduan kenaikan caj semalam didengar membabitkan caj tambang feri ke Langkawi dari Kuala Kedah dan Kuala Perlis yang dinaikkan sebanyak RM10.
Sementara itu, pengamal media yang bertugas sepanjang tempoh PKPB perlu mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
Ismail Sabri, berkata mereka juga tertakluk dengan peraturan penjarakan sosial tidak kira bila dan di mana saja liputan dibuat.
“Saya memohon pengamal media jika ingin membuat laporan berita tolong patuhi SOP termasuk penjarakan sosial dilakukan.
“Media pun tahu ia asas SOP, kalau nampak kawasan itu sempit, tak perlu masuk lagi membahayakan diri,” katanya lagi.
Beliau berkata, kerajaan menasihatkan penganjur menyediakan ruang secukupnya kepada pengamal media untuk membuat liputan atau boleh mengehadkan kehadiran mereka pada satu-satu majlis.
“Saya setuju penganjur kalau nak panggil pengamal media mesti sediakan tempat bertanda. Jika kawasan sempit, mereka hadkan jumlah media yang perlu hadir. Kita arahkan penganjur buat SOP khusus kepada pengamal media,” katanya.