17 MEI: Amerika Syarikat (AS) mencatatkan 1,237 kematian Covid-19 dalam 24 jam lalu, menjadikan jumlah keseluruhannya 88,730, menurut laporan Johns Hopkins University.
Selain itu 339,232 mangsa disahkan sudah sembuh daripada jangkitan virus itu.
Negara itu yang paling teruk dilanda wabak dari segi jumlah kematian, kini mengesahkan mencatatkan 1,446,924 kes, lapor universiti yang berpusat di Baltimore itu.
Sementara itu di Kathmandu, Nepal telah meragut nyawa pertama membabitkan seorang ibu berusia 29 tahun yang baru melahirkan anak.
Negara itu sehingga kini hanya mencatatkan sekitar 281 kes jangkitan virus itu.
Mangsa yang berasal dari daerah Sindhupalchowk, kira-kira 90 kilometer dari ibu negara, sedang dalam perjalanan ke hospital untuk rawatan apabila menghembuskan nafas terakhir.
Timbalan jurucakap Kementerian Kesihatan, Samir Kumar Adhikari, dalam satu kenyataan, berkata itu adalah kematian pertama akibat Covid-19 di Nepal.
“Wanita berkenaan melahirkan anak di sebuah hospital di Kathmandu pada 6 Mei lalu, sebelum pulang ke rumahnya sehari selepas itu.
“Mendiang dirawat di hospital daerah selepas mengalami demam dan masalah pernafasan, sebelum dirujuk ke hospital lain apabila keadaannya bertambah buruk,” katanya.
Media tempatan melaporkan, bayi dan anggota keluarga pesakit itu akan menjalani saringan kesihatan untuk melihat jika mereka turut dijangkiti virus terbabit.
Nepal yang memiliki 28 juta penduduk, setakat ini menjalankan kurang daripada 100,000 saringan kesihatan.
Menurut pakar, kekurangan saringan mungkin menghalang lebih banyak kematian dikenal pasti.
Pakar wabak, Lhamo Sherpa, berkata beliau yakin ia bukan kematian pertama akibat Covid-19 di negara itu.
“Mereka perlu menjalankan lebih banyak saringan kesihatan, pengesanan kontak dan lebih telus,” katanya.
Nepal adalah negara pertama di Asia Selatan yang melaporkan kes positif Covid-19 pada Januari lalu.
Negara itu melaksanakan perintah berkurung sejak 24 Mac selepas kes kedua disahkan berlaku.