17 MEI: Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Mazli Mazlan mengesahkan penahanan ketua pemuda bahagian sebuah parti politik di negeri ini berhampiran pondok pengawal, Kem Paradise di Kota Belud malam tadi.
Ketika ditahan, suspek dalam keadaan khayal disyaki terbabit dalam penagihan dadah.
Mazli berkata, siasatan masih dijalankan terhadap pemimpin berusia 30-an itu yang dikatakan ditahan kira-kira jam 8 malam oleh pasukan polis selepas menerima maklumat daripada pihak tentera di kem berkenaan.
Difahamkan, suspek yang memandu sebuah kenderaan pergi ke kem tentera berkenaan sebelum ditahan untuk tujuan pemeriksaan oleh pihak tentera bertugas.
Ketika diperiksa, suspek disyaki dalam keadaan khayal sebelum anggota tentera memaklumkan perkara itu kepada polis.
Susulan laporan itu, polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud bergegas ke lokasi dan bertindak memeriksa dan menahan suspek terbabit.