18 MEI: Permulaan titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah hari ini di Parlimen dimulakan dengan memberi penghormatan kepada pasukan frontliners yang berkorban berikutan wabak Covid-19.
Titahnya, pengorbanan mereka tidak mengira erti penat lelah mahupun takut akan keselamatan diri demi kepentingan orang ramai.
“Istiadat pada pagi ini diadakan dalam suasana yang agak berbeza dari norma dan kelaziman-nya. Ketika ini, negara kita masih lagi dalam usaha memerangi penularan wabak Covid-19 yang telah mula-mula dikesan menjangkiti rakyat malaysia pada awal bulan Februari yang lalu.
“Pengorbanan mereka tidak pernah mengenal erti penat mahupun takut hinggakan nyawa dan keselamatan diri sendiri menjadi taruhan demi menjaga kemas-lahatan dan kepentingan orang ramai.
“Justeru sebagai tanda penghargaan negara marilah bersama-sama dengan beta untuk berdiri dan memberikan tepukan yang gemuruh kepada semua wira dan wira-wati petugas barisan hadapan negara,” titahnya dalam ucapan perasmian sempena istiadat pembukaan Mesyuarat Pertama, Penggal Ketiga, Parlimen ke-14, Isnin.
Titah tersebut mendapat tepukan sebagai tanda sokongan daripada ahli parlimen seluruhnya berdiri bersama-sama dengan Agong.
Titahnya lagi, semua pihak telah menghadapi wabak tersebut dengan bersatu padu sebagai sebuah bangsa Malaysia yang kuat dan berdisiplin, sekaligus membantu pihak frontliners dalam mengurangkan beban mereka.
“Dalam saat getir ini, petugas barisan hadapan negara terutamanya perkhidmatan kesihatan, angkatan tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia; Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Agensi Pengurusan Bencana Negara, Aangkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia dan lain-lain agensi yang turut terlibat telah tampil dengan penuh dedikasi yang tinggi menghadapi serangan wabak ini.
“Taat setia mereka mencurah khidmat bakti memajukan negara, menjadikan Malaysia aman dan makmur, amanah dan tanggungjawab yang dijunjung hendaklah terus dilaksanakan dengan sebaiknya tanpa mengira kaum, agama dan kedudukan,” titahnya.
Dalam masa yang sama Agong turut menyeru agar rakyat jelata terus memberikan kerjasama kepada kerajaan bagi meneruskan kesinambungan usaha-usaha pembangunan negara.
“Beta yakin hanya melalui kesepaduan antara rakyat dengan kerajaan sahaja yang mampu melahirkan Malaysia yang stabil, aman dan sejahtera,” titahnya.