18 MEI: Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah berpesan kepada semua ahli parlimen supaya tidak mempertikai kedudukan raja-raja Melayu serta mengheret negara sekali lagi ke kancah politik yang tidak menentu.
Titahnya, setiap perbezaan pendapat seharusnya dijadikan sebagai pencetus idea untuk membangunkan serta menyatupadukan negara, bukan sebaliknya.
“Ahli-ahli yang berhormat hendaklah sentiasa mempamerkan kematangan dalam berpolitik. Ini termasuklah menjiwai keluh kesah rakyat, membela nasib rakyat, berpegang kepada prinsip keadilan, membudayakan politik yang bersih, tidak menyentuh sensitiviti ugama dan bangsa mahupun kedaulatan serta kedudukan raja-raja Melayu.
“Jangan mengheret negara sekali lagi ke kancah politik yang tidak menentu ketika rakyat jelata masih berhadapan dengan pelbagai masalah dan masa depan yang sukar akibat pendamik Covid-19,” titahnya dalam ucapan perasmian sempena istiadat pembukaan Mesyuarat Pertama, Penggal Ketiga, Parlimen ke-14, Isnin.
Ketika titah itu disampaikan, Agong memandang tepat kearah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta barisan pembangkang lain yang sebelum ini tidak berpuas hati dengan penetapan untuk bersidang selama sehari sahaja.
Titahnya lagi, semua pihak harus memahami masalah kritikal yang berlaku kini melibatkan nyawa ramai pihak berikutan isu Covid-19.
“Ketika rakyat jelata berhadapan pelbagai masalah dan cukup sukar iaitu pandemik Covid-19 ini, kerana itu kerajaan beta majlis hanya menetapkan untuk mesyuarat pertama hanya ada 1 urusan majlis sahaja iaitu titah beta sempena penggal parlimen yang baru ini.
“Beta yakin semua pihak akan terus bersatu padu dan membungankan negara dan tidak disokong dengan api perpacahan dan sogokan, bermula dalam dewan yang mulia ini, pada rakyat jelata, terus jaga kesihatan diri dan keluarga serta persekitaran setempat,
“Berhimpun secara ramai amalkan penjarakan sosial, mudah-mudahan Malaysia akan menghadapi covid19 dengan jayanya,” titahnya. -Oleh ASLINDA NASIR