18 MEI: Jumlah kes baharu Covid-19 bertambah sedikit berbanding penurunan kes beberapa hari lalu iaitu sebanyak 47 kes dilaporkan hari ini.
Sebelum ini hanya 22 kes baharu dicatat semalam, manakala pada 16 Mei (17 kes), 15 Mei (36) dan 14 Mei (40 kes),
Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata daripada jumlah itu, sebanyak 21 kes dari kes import dan mendapat jangkitan dari luar negara dan 26 kes pula dari penularan tempatan.
Dengan pertambahan itu, menjadikan jumlah terkumpul di negara ini sebanyak 6,941 kes.”Hari ini sebanyak 44 kes sudah pulih sepenuhnya dan dibenarkan pulang. Dengan pertambahan kes sembuh itu, ia menjadikan jumlah kumulatif kes sebanyak 5,615 kes atau 80.9 peratus dari keseluruhan kes.
“Sehingga jam 12 tengah hari tadi, tiada pertambahan kes kematian disebabkan COVID-19 dan jumlahnya kekal sebanyak 113 kes,” katanya dalam sidang media harian Covid-19, di Putrajaya, hari ini.
Dalam pada itu katanya, strategi keluar daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hanya akan dipertimbang jika rakyat benar-benar patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) dan jumlah kes baharu kekal pada dua angka.
Dr Noor Hisham, berkata bagaimanapun Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mungkin dilanjutkan, jika kedua-dua kriteria berkenaan tidak dipenuhi.Setakat ini, katanya, strategi keluar daripada PKP belum dibincangkan, sebaliknya rakyat hanya diberikan beberapa kelonggaran di bawah PKPB.
“Paling penting, masalah kita ada (ketika PKPB) ialah perayaan akan meningkatkan kes atau tidak. Kita masih pantau tetapi bimbang kalau (rakyat) tak patuh SOP dan kes akan meningkat.
“Kita sama-sama mengharapkan semua rakyat patuh SOP semasa musim perayaan.
“SOP ini mudah tetapi mungkin sukar diamalkan. Jadi, saya rasa semua orang tahu apa yang hendak dilaksanakan sebagai kelaziman dan budaya,” katanya.