Penjara, denda jika tidak pakai topeng muka di khalayak ramai
18 MEI: Qatar semalam melaksanakan hukuman penjara sehingga tiga tahun bagi kesalahan tidak memakai topeng muka di khalayak umum, dalam usaha mengekang penularan Covid-19 di negara itu.
Selain itu, kegagalan memakai topeng muka ketika berada di tempat awam juga boleh menyebabkan pesalah dikenakan denda setinggi AS$55,000 (RM240,000).Dengan lebih 1.2 peratus atau 32,000 daripada 2.75 juta penduduknya disahkan positif Covid-19, negara Teluk yang kecil itu adalah antara negara yang paling teruk terjejas, walaupun hanya mencatatkan 15 kematian setakat ini.
Berdasarkan statistik Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Eropah, hanya negara kecil seperti San Marino dan Vatican melaporkan kadar jangkitan berbanding nisbah penduduk yang lebih tinggi.
Pemandu yang berseorangan dalam kenderaan dikecualikan daripada peraturan memakai topeng muka dan pihak polis sudah memulakan pemeriksaan di serata Doha sejak semalam.
Pemakaian topeng muka kini diwajibkan di sekitar 50 negara walaupun pakar sains tidak begitu yakin mengenai keberkesanannya.
Pihak berkuasa Chad mengenakan hukuman penjara 15 hari jika gagal memakai topeng muka ketika berada di tempat awam manakala di Maghribi, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara tiga bulan dan didenda 1,300 dirham (RM567).
Pengerusi bersama Jawatankuasa Siapsiaga Pandemik Kebangsaan Qatar, Abdullatif al-Khal, berkata pihaknya bimbang perhimpunan ketika berbuka puasa di bulan Ramadan mungkin meningkatkan penularan jangkitan COVID-19.
Minggu lalu, Arab Saudi mengumumkan perintah berkurung 24 jam sepanjang cuti lima hari sempena sambutan Aidilfitri hujung bulan ini.
Masjid, sekolah, pusat beli-belah dan restoran masih ditutup di Qatar tetapi sektor pembinaan membabitkan persediaan negara itu menganjurkan Piala Dunia 2022 dibenarkan beroperasi dengan pematuhan penjarakan sosial yang ketat. – AFP