19 MEI: Kompaun telah dikeluarkan sejak semalam oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) kepada sesiapa sahaja yang melanggar peraturan yang ditetapkan berhubung Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Menurut Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, setakat semalam 142 individu telah ditahan atas kesalahan melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) dimana 124 daripadanya telah direman, 3 individu dijamin polis, sementara 15 individu lagi telah diberi kompaun oleh polis.
“Pihak polis sebelum ini telah memulakan dengan nasihat dan amaran, malah saya katakan kepada mesyuarat khas Menteri-menteri untuk memberi kuasa kepada polis untuk mengambil tindakan undang-undang.
“Bermakna kompaun telah mula dikeluarkan sejak semalam,” katanya pada sidang media di Putrajaya, Selasa.
Menurut Ismail Sabri lagi, setakat ini belum ada lagi yang dihadapkan ke mahkamah, namun beliau berharap agar masyarakat dapat mematuhi segala peraturan yang ditetapkan.
“Jangan ada anggapan pihak polis akan membiarkan pelanggaran, jangan ambil kesempatan dengan tindakan awal polis yang hanya beri nasihat dan amaran, pihak sekarang dah bertindak lebih dari amaran dan nasihat kerana ada yang dah ambil tindakan bermula 15 individu yang dikenakan kompaun terhadap mereka.
“Cuma setakat ni belum ada yang dihadapkan ke mahkamah, tapi lepas ni mungkin ada yang dihadapkan kerana melanggar SOP, saya amat berharap semua rakyat patuh kepada peraturan dan SOP yang dikeluarkan kerajaan,” katanya lagi.– Oleh ASLINDA NASIR