20 MEI : Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu bertindak atau melakukan sesuatu bagi mengukuhkan partinya yang kini merupakan sebahagian daripada kerajaan hari ini.
Menurut Penganalisis Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Salawati Mat Basir, apabila Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) memutuskan Muhyiddin adalah Pemangku Pengerusi Bersatu yang sah, kuasa tertakluk di bawahnya untuk menyelamatkan parti itu dari berpecah.
Jelasnya, walaupun Bersatu mempunyai kuasa besar dalam PN kini, namun ia tidak menjamin keutuhan parti itu dalam jangka masa yang panjang.
“Bersatu dah berpecah dua, satu berpihak dengan Tun Mahathir, satu lagi dengan PN, ini bermakna masa depan parti terletak pada ahli Bersatu, kalau tak parti ini tidak boleh bertahan lama, ia mesti ada penyatuan.
“Kalau dah terbelah dua, sudah pasti satu pihak akan dilupakan dan satu lagi akan kekal tetapi ini mengakibatkan perpecahan terus berlaku antara kedua-dua pihak. Dalam aspek politik, ini adalah perkara yang tidak baik dalam parti,” katanya kepada PNBBC portal.
Terdahulu, RoS mengesahkan bahawa Presiden Bersatu iaitu Muhyiddin “berhak” menjadi pemangku pengerusi parti, setelah Tun Mahathir menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Muhyiddin pada 24 Februari.
Dalam surat bertarikh 5 Mei, ROS mengatakan penilaian ini berdasarkan dokumen yang diberikan oleh pihak berkaitan.
Mengulas lanjut Salawati berkata, Bersatu tidak boleh terus selesa dengan keadaan sekarang dimana UMNO dan PAS terus menyokong parti itu kerana bimbang terdapat mana-mana pihak yang akan menuntut sesebuah parti itu lebih berkuasa dari Bersatu.
“Sekarang Bersatu dianggap sebagai sebuah parti yang lemah kerana tiada penyatuan. Jangan ingat waktu sekarang semua parti menyokong kepimpinan Muhyiddin dan mereka tidak akan berubah pendapat. Ini adalah politik.
“Semua perkara boleh berlaku,” katanya.
Berikutan itu jelas Salawati lagi, satu-satunya cara yang perlu dilakukan adalah mengadakan Perhimpunan Agung (AGM) bagi memberi hak kepada ahli parti untuk menentukan survival Bersatu dalam politik negara. -Oleh ASLINDA NASIR