20 MEI: Bermula 1 Jun, semua rakyat Malaysia di luar negara yang mahu pulang ke tanah air perlu membayar 50% daripada kadar RM150 bagi hotel yang menjadi pusat kuarantin Covid-19.
Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Ismail Sabri Yaakob berkata, kadar itu yang ditanggung sepenuhnya kerajaan sebelum ini, perlu dijelaskan kelompok itu selepas diputuskan dalam Mesyuarat Khas Menteri-Menteri hari ini.
“Bagi pasangan yang bukan warganegara Malaysia termasuklah pemastautin tetap, mereka perlu bayar penuh RM150. Hanya bagi rakyat Malaysia sahaja perlu bayar separuh, dan separuh lagi ditanggung kerajaan.
“Mereka juga perlu menandatangani surat perjanjian atau akujanji pembayaran ini yang disediakan pihak kedutaan Malaysia sebelum diterbangkan pulang,” katanya pada sidang media harian di Putrajaya, hari ini.
Ismail Sabri berkata, pihak kedutaan akan mengeluarkan surat kebenaran kepada golongan itu yang menjadi syarat utama menaiki pesawat.
“Jabatan Imigresen akan mengeluarkan arahan kepada semua syarikat penerbangan supaya surat terbabit dijadikan syarat kepada semua penumpang sebelum berlepas,” katanya.
Beliau memberitahu, langkah terbaharu kerajaan itu terpaksa diambil susulan keengganan pasangan rakyat Malaysia yang bukan warganegara untuk membayar caj kuarantin di hotel sebelum ini.