21 MEI : prosedur operasi standard (SOP) berhubung operasi kedai gunting rambut sedang diteliti Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata persatuan perkhidmatan gunting rambut sudah pun menghantar cadangan SOP itu kepada kerajaan, bagi mengelak penularan Covid-19.
“Kedai gunting rambut ini ada pelbagai kategori. Ada di pusat membeli belah dan ada juga kedai mamak gunting rambut. Jadi SOP ini yang kita mahu perketatkan.
“MKN dan Kementerian Kesihatan masih menelitinya kerana masih ramai yang takut untuk menggunting rambut, yang agak berbahaya kerana penjarakan sosial sukar dilakukan dan membabitkan sentuhan,” katanya pada sidang media di Putrajaya, Khamis.
Dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri berkata kerajaan bersetuju memberi pengecualian caj hotel bagi golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) yang perlu menjalani kuarantin wajib selepas pulang ke tanah air.
Katanya keputusan itu dimuktamadkan pada Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN), pagi tadi.
“Mesyuarat hari ini, bersetuju mengecualikan bayaran kepada golongan OKU, Selain daripada itu warga negara semua kena bayar 50 peratus.
“Sementara itu, peserta Malaysia My Second Home (MM2H0, mereka perlu menanggung sepenuhnya,” katanya lagi.