21 MEI: Rumah ibadat bukan Islam dibenarkan untuk dibuka di zon hijau sahaja sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mulai 10 Jun ini.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata antara SOP yang perlu dipatuhi adalah bilangan kehadiran penganut agama hendaklah tidak melebihi 30 orang, tertakluk kepada keluasan rumah ibadat tersebut.
“Hari ini, Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique membentangkan kepada Mesyuarat Khas Menteri-Menteri berkenaan SOP rumah ibadat bukan Islam, hasil rundingan dan persetujuan dari Ketua Badan Agama bukan Islam. Mesyuarat bersetuju membenarkannya.
“Penganut yang berumur 70 tahun ke atas dan kanak-kanak di bawah umur 12 tahun tidak dibenarkan hadir,” katanya pada sidang media hariannya.
Ismail Sabri berkata saringan suhu badan, penyediaan cecair pembasmi kuman dan pemakaian topeng muka mesti dipatuhi setiap masa.
Katanya, kebenaran itu hanya untuk warganegara Malaysia.
“Kebenaran ini juga hanya untuk 1 hingga 2 hari sahaja dalam seminggu bagi hari-hari keutamaan keagamaan masing-masing,” katanya.
Tambah Ismail Sabri, sebanyak 174 rumah ibadat di seluruh negara yang dibenarkan beroperasi termasuk 84 kuil, 15 tokong, 67 gereja dan 8 gurdwara.
Katanya, prosedur pelaksanaan urusan perkahwinan di kuil, gereja dan persatuan agama juga masih ditangguhkan.
“Pegawai-pegawai Kementerian Perpaduan Negara termasuk Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional dilantik sebagai pegawai pemantau di bawah Seksyen 3, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
“Kementerian Perpaduan Negara akan bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk menyelaras pelaksanaan pembukaan rumah-rumah ibadat di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya.
Ismail Sabri berkata kebenaran operasi itu akan ditarik balik serta merta jika didapati gagal mematuhi SOP.