21 MEI: Ahli Parlimen Bersatu yang duduk di kerusi pembangkang pada sidang Dewan Rakyat hari Isnin lalu perlu dilucutkan keahlian serta-merta kerana tidak boleh ada ‘kasta elit’ di dalam Bersatu.
Demikian ditegaskan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Wan Saiful Wan Jan berdasarkan bahawa ia tertakluk dalam perlembagaan parti dan semua ahli harus menghormati disiplin parti.
“Dalam perlembagaan Bersatu, menyertai kelompok pembangkang adalah satu perkara yang menyebabkan keahlian seseorang gugur dengan sendirinya.
“Bukan tindakan disiplin, tetapi gugur dengan sendiri,”.
“…sesuai dengan semangat “rule of law” yang kita pegang, parti perlu segera menyemak status keahlian semua mereka tanpa “fear or favour,” kata Wan Saiful dalam satu kenyataan.
Pada persidangan Dewan Rakyat Isnin, bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad duduk di kerusi pembangkang bersama empat ahli parlimen termasuk Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Dr Maszlee Malik.
Menurut Wan Saiful, Bersatu tidak boleh bertolak ansur dengan kewujudan “kasta elit” yang akhirnya menolak disiplin parti kerana ia boleh menjadi barah yang merosakkan parti.
“Sepatutnya janganlah sombong merasakan lebih tinggi dari yang lain sehingga duduk dengan blok parti (kerajaan) sendiri pun tidak sudi.
“Parti akan rosak jika pemimpin hanya mementingkan pandangan sendiri sahaja, tanpa mempedulikan kesan tindakan mereka ke atas persepsi rakyat terhadap parti,” katanya.
Perkara 10 (2) (3) Perlembagaan Bersatu berbunyi “Keahlian seseorang ahli terhenti secara serta-merta apabila ahli itu menyertai atau menjadi ahli mana-mana parti politik lain di negara ini”.