22 MEI : Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Xavier Jayakumar wajar diambil tindakan tatatertib kerana menyifatkan sidang Dewan Rakyat sebagai sampah.
Menurut Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad tindakan itu perlu diambil jawatankuasa Parlimen sendiri dengan menjelaskan bekas Menteri PH tidak patut mengeluarkan kenyataan sedemikian kerana berpengalaman dalam pentadbiran kerajaan negeri dan Persekutuan.
“Satu kenyataan yang tidak sepatutnya dikeluarkan oleh seorang ‘law maker’ dan juga sebagai seorang ahli politik yang berpengalaman dalam politik.
“Malah pernah memegang jawatan dalam pentabiran kerajaan Negeri Selangor selama beberapa tahun dan pernah menjadi menteri semasa pemerintahan PH,” katanya dipetik HarakahDaily.
Idris yang juga bekas Ahli Parlimen Bukit Gantang berkata, tindakan kerajaan mengadakan persidangan Dewan Rakyat pada Isnin lalu dengan hanya Titah Diraja sahaja bukan tindakan suka-suka.
Sebaliknya ulas Idris, ia melibatkan isu kesihatan dan keselamatan banyak pihak dan tindakan yang dibuat oleh kerajaan adalah atas nasihat pihak Kementerian Kesihatan Malaysia dan dirujuk dengan hal ehwal perundangan negara ekoran pandemik Covid-19.
“Bukan sebab apa pun, mereka sengaja nak mencetuskan isu, padahal pada bulan Julai nanti Dewan Rakyat akan bersidang selama 15 hari bermula pada 13 Julai nanti.
“Masa itu nak bahas, bahaslah. Serba tidak kena setiap apa keputusan yang dibuat oleh kerajaan. Mereka ini jenis pembangkang yang serba tidak kena serta pembangkang yang tidak membina,” ujarnya.
Beliau turut menyifatkan Ahli Parlimen Kuala Langat itu sebagai tidak menghormati Yang Di-Pertuan Agong yang mengingatkan supaya semua ahli politik tidak mengheretkan negara ke kancah politik tidak menentu.
“(Xavier)Tidak hormat kepada Yang Di-Pertuan Agong, sedangkan Yang Di-Pertuan Agong sebenarnya simbol kepada perpaduan rakyat dan negara, ini (kenyataan Xavier) sepatutnya tidak patut,” tambahnya.
Berikutan itu, jelas Idris, PAS sekali lagi mendesak supaya jawatankuasa Parlimen mengenakan tindakan kepada ahli parlimen Kuala Langat itu.