25 MEI: Saya minta maaf kepada Najib dan Rosmah, begitu permohonan penulis kontroversi Raja Petra Kamarudin kepada bekas perdana menteri itu susulan fitnah beliau kepada mereka.
Raja Petra atau RPK membuat permohonan maaf kepada Datuk Seri Najib Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor secara terbuka menerusi hantaran di facebook beliau dan portal Malaysia Today Net semalam, sempena Hari Raya Aidil Fitri ini.
Dengan memetik pesan arwah gurunya bahawa Allah tidak akan memaafkan dosa kita kepada orang lain selagi orang itu tidak memaafkan kita, Raja Petra mengakui fitnahnya terutama melalui akuan bersumpah menyebabkan kerosakan yang tidak dapat diperbaiki.
“Oleh itu, pada Hari Raya ini, saya ingin meminta maaf,” katanya yang juga berharap dapat bertemu Najib satu masa nanti.
Menariknya, selepas itu Najib membalas hantaran Raja Petra dengan meminta RPK membiarkan apa yang telah berlalu, biarlah berlalu selain mengucapkan salam Aidilfitri.
Menerusi facebooknya, Najib menulis :
Dear RPK,
Salam Aidilfitri. Maaf Zahir dan Batin.
Apa yang telah berlalu, biarlah berlalu.
Moga Syawal ini akan membawa kebaikan melimpah ruah buat kita semua
Hantaran mereka berdua mendapat pelbagai reaksi netizen dengan rata-rata bangga sikap terbuka RPK meminta maaf dan memuji Najib sebagai insan berjiwa besar kerana sudi meminta penulis kontroversi itu melupakan perkara lalu.