27 MEI: Kerajaan Kedah menjelaskan bukanlah satu cadangan untuk kerajaan negeri membuka kawasan baharu pembalakan seperti dilaporkan.
Sebaliknya, ia hanya cadangan untuk menyelesaikan masalah yang berbangkit setelah kelulusan konsesi pembalakan yang diberikan kemudian dibatalkan oleh kerajaan negeri sebelum ini.
“Ini kerana syarikat-syarikat berkenaan telah membayar premium. Berikutan itu, implikasi yang terpaksa dihadapi oleh kerajaan negeri sama ada berhadapan dengan tindakan mahkamah, membayar ganti rugi ataupun menimbang langkah menggantikan kawasan lain kepada syarikat-syarikat konsesi berkenaan,” kata kenyataan pejabat Menteri Besar.
Bagaimanapun, dalam hal ini, kerajaan negeri bertegas bahawa kawasan lain yang diganti itu mestilah dalam kawasan hutan pengeluaran yang dibenarkan oleh Jabatan Perhutanan berasaskan undang-undang dan peraturan yang sedang berkuatkuasa.
Menurut kenyataan itu lagi, langkah-langkah ini akan diberi perhalusi dan diberikan pertimbangan sewajarnya kerana jika kita bersedia untuk membayar tuntutan ganti rugi yang dianggarkan mencecah nilai RM1bilion, hal kawasan ganti itu tidak timbul.
“Keutamaan kerajaan negeri ialah kehidupan rakyat akan dipastikan tidak terganggu, tiada pencemaran, tidak ada penggondolan, hakisan, banjir lumpur dan lain-lain akibat yang boleh membawa kemusnahan kepada alam sekitar dan kehidupan manusia sama ada dalam jangka pendek atau jangka panjang,” tegas kenyataan itu lagi.
Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor sebelum itu memberitahu pemberita bahawa 40 pemegang konsesi balik dibenarkan menjalankan aktiviti pembalakan sebelum ia dibatalkan.
Bagaimanapun bekas menteri besar Datuk Seri Mukhriz Mahathir mempersoalkan angka pampasan sebanyak RM1 bilion itu dengan berkata, jumlahnya tidaklah sebegitu besar.