28 MEI: Cadangan PAS supaya kerajaan menggantung semua aktiviti berkaitan pengeluaran, perniagaan dan penjualan arak tiada kena-mengena dengan agama mahupun kaum.
Menegaskan perkara itu, Bendahari Pas Pusat, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata cadangan PAS adalah lebih kepada memelihara kepentingan nyawa rakyat yang sering menjadi korban kematian berikutan tindakan pemandu mabuk yang tidak bertanggungjawab.
“Ada yang kata gantung jualan arak kerana kemalangan melibatkan pemandu mabuk tidak hormat agama lain. Ini bukan isu agama, tidak nampak ke ramai yang mati kena langgar?
“Ini isu keselamatan. Kenapa tidak hormat kepada nyawa manusia? Adakah nyawa manusia tidak ada nilai kepada kamu? Bukan orang Islam saja boleh mati kena langgar, orang bukan Islam pun boleh mati kena langgar.
“Orang bukan Islam boleh minum tapi perketatkan undang-undang dahulu untuk keselamatan semua bangsa dan agama,” katanya dalam posting terbaru di Facebook, Khamis.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan peguam Siti Zabedah Kasim atau lebih dikenali sebagai Siti Kasim yang mencadangkan sekolah tahfiz diharamkan kerana mendakwa anak-anak kecil tidak berdosa menjadi mangsa kepada pihak pengurusan sekolah.
Jelas Siti Kasim lagi, alkohol bukan satu masalah, sebaliknya peminum yang tidak bertanggungjawab punca masalah sebenar kepada masalah pemandu mabuk.
Kenyataan itu berikutan cadangan PAS sebelum ini yang menggesa untuk mengharamkan penjualan minuman beralkohol di semua kedai serbaneka 24 jam dan stesen minyak.