29 MEI: Terdapat sedikit kelewatan pelaksanaan projek lebuhraya Pan Borneo negeri Sabah bagi 11 pakej yang setakat ini hanya mencapai 21.2 peratus berbanding 32 peratus mengikut kontrak asal.
Kelewatan ini atas pelbagai sebab antaranya akibat pertukaran kerajaan pada tahun 2018 menyebabkan penyelia pelaksana projek telah beralih tangan kepada Jabatan Kerja Raya Sabah secara total.
Bagaimanapun, Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Abdul Rahim Bakri yakin kerajaan PN melalui Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof dapat melakukan sesuatu untuk menyegerakan pelaksanaan projek tersebut.
“Beliau berpengalaman dalam mengendalikan projek ini semasa menjadi menteri sama ketika pemerintahan Barisan Nasional dahulu .
“Rakyat Sabah amat berharap beliau dapat mengambil tindakan segera untuk mengembalikan projek ini di landasan yang betul dan dapat disegerakan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kudat menjelaskan, pelaksanaan projek lebuhraya Pan Borneo khususnya jalan pesisir pantai dari Tuaran – Kota bBlud- Bingolon ( kota marudu) – Kudat diharap menjadi “ game changer” ekonomi negeri Sabah khususnya di pantai barat utara negeri itu.
“Jika projek siap dilaksanakan, jalan dari Tuaran ke Kudat mengikut pesisir pantai akan menjadi sangat singkat kepada 124 kilometer sahaja .
“Sudah tentu akan mengurangka masa perjalanan memakan masa sekitar 1 jam berbanding melebihi 2 jam perjalanan sekarang,” katanya.
Menurut Abdul Rahim, jalan pesisir pantai itu juga dijangka akan membolehkan penerokaan aktiviti ekonomi baru sekaligus membuka destinasi pelancongan baru dengan kewujudan pesisiran “ gold coast” di situ.
Selain itu katanya, ia juga membuka potensi sektor akuakultur, pertanian dan perladangan di sepanjang laluan tersebut yang mampu menjana ekonomi di daerah sekitar pantai barat utara yang sangat memerlukan lonjakan mega.