29 MEI: Majikan yang masih berdegil untuk mengambil warga asing sebagai pekerjanya akan ditarik lesennya.
Menegaskan perkara itu, Menteri Wilayah Tan Sri Annuar Musa berkata pihaknya tidak akan berkompromi dalam hal ini kerana sudah sampai masa untuk memberi peluang kepada pekerja tempatan memiliki pekerjaan dengan sebaiknya.
“Saya ada diberitahu untuk mereka gunakan cara yang lama, saya kata tak boleh. Saya bantu mereka untuk dapatkan kerja, mereka pun perlu bantu saya. Kalau jual lesen, saya tak akan kompromi. Kita akan blacklist. Pun sama kalau mereka ambil pekerja asing juga sebagai pekerja,” katanya pada sidang media selepas membuat lawatan di Pasar Borong Kepong, Jumaat.
Jelas Annuar, beliau memahami kesukaran yang berlaku terhadap pihak peniaga apabila pekerja tempatan tidak memiliki kekuatan seperti pekerja asing.
“Saya tahu masalah pekerja tempatan ni tak kuat, banyak nak cuti, tak boleh angkat berat. Orang kita cuma boleh angkat handphone je. Guni berat tak boleh angkat kena marah dia lari.
“Jadi dalam hal ni kita akan perbaharui cara lama. Kita ada kad elektrik. Lepas ni orang kita boleh datang kerja pasar borong pakai ‘neck tie’,” jelasnya lagi.
Sebelum ini dilaporkan Pasar Borong Kuala Lumpur Selayang memerlukan hampir 3,000 pekerja tempatan untuk membantu mereka menjalankan perniagaan berikutan kekurangan tenaga kerja kritikal, susulan kebanyakan pekerja warga asing terpaksa tinggal dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Hasilnya, hampir 1,000 pekerja tempatan kini sudah mula bekerja di pasar tersebut. –Oleh ASLINDA NASIR