30 MEI: Presiden Parti Sarawak Bersatu (PSB), Wong Soon Koh mengumumkan Ahli Parlimen Selangau, Baru Bian dan Adun Batu Lintang, See Chee How menyertai parti itu hari ini.
Baru sebelum ini ialah pengerusi PKR Sarawak manakala See pula menjawat naib pengerusi PKR Sarawak.
Wong berkata, keputusan itu selepas pemimpin parti itu mengadakan beberapa perbincangan dengan Baru dan penyokongnya serta mendapati mereka mempunyai aspirasi sama untuk masa depan Sarawak.
“Kami ingin membuka pintu kami kepada bekas pemimpin PKR dan ahli akar umbi untuk menyertai kami mengorak langkah ke masa depan baru dan lebih baik Sarawak,” katanya dalam sidang media hari ini.
Baru meninggalkan PKR ketika kemuncak krisis politik negara pada akhir Februari lalu sehingga menyebabkan kerajaan PH tumbang.
Pada 16 April lalu, bekas Menteri Kerja Raya itu memberi bayangan akan menyertai PSB kerana beliau mendapati perlembagaan parti itu menarik, selepas mengkaji parti politik lain yang berpusat di Sarawak.
PSB merupakan parti pembangkang yang berpusat di Kuching pimpinan Wong Soon Koh, yang membentuk parti itu setelah berlaku perseteruan dalam Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).
PSB kini mempunyai dua ahli parlimen iaitu Baru dan Datuk Masir Kujat (Sri Aman) yang duduk bersama pembangkang.