31 MEI: Gabungan Parti Sarawak (GPS) konsisten untuk terus menyokong kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri dalam gabungan PN.
Menurut Ketua WHIP GPS, Datuk Seri Fadillah Yusof, gabungan itu tidak akan berpaling tadah untuk mengikut haluan pembangkang bagi menjatuhkan Perdana Menteri itu.
Jelasnya, fokus kerajaan hari ini adalah membangunkan negara serta kemajuan untuk rakyat sekaligus menolak pergolakan politik yang mendatangkan masalah.
“Kita jelas, akan terus menyokong Tan Sri Muhyiddin yang menjadi Perdana Menteri hari ini,” katanya ringkas kepada PNBBC portal.
Kenyataan beliau itu selati dengan apa yang dijelaskan Ahli Parlimen Santubong Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar sebelum ini dengan menolak dakwaan PH kononnya mempunyai sokongan 129 ahli parlimen, termasuklah dari GPS.
Jelas Wan Junaidi, ia adalah senarai lama yang tidak boleh lagi digunakan kerana beliau dan pimpinan GPS seluruhnya hanya menyokong kepimpinan Muhyiddin.
Tambah Wan Junaidi sebelum ini GPS menyokong kepimpinan Tun Mahathir, namun ia bertujuan demi kestabilan politik dalam negara.
Tetapi, sokongan itu telah beralih arah kepada Muhyiddin yang dilihat bijak dalam menguruskan masalah negara. – Oleh ASLINDA NASIR