1 JUN: Semua aktiviti penjualan dan pengeluaran arak di Wilayah Persekutuan mungkin dibekukan sementara waktu berikutan peningkatan kes kemalangan maut akibat pemandu mabuk di Malaysia sejak kebelakangan ini.
Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, tindakan itu perlu bagi membolehkan kerajaan menyediakan garis panduan baharu dan melakukan semakan terhadap undang-undang sedia ada berkaitan pengeluaran dan penjualan arak.
“Dengan kejadian pemandu mabuk dan menyebabkan kemalangan, wajar pengeluaran lesen baharu menjual arak dibekukan sehingga satu garis panduan dan semakan perundangan dapat dilakukan.
“Lesen premis pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu diperketatkan,” katanya menerusi ciapan Twitter miliknya hari ini.
Peningkatan insiden kemalangan maut yang disebabkan oleh pemandu mabuk menyebabkan orang ramai menggesa kerajaan melaksanakan langkah-langkah penguatkuasaan yang lebih ketat.
Dalam kejadian awal pagi tadi, seorang penghantar makanan, Mohamed Zaili Mohamed, 44, meninggal dunia setelah motosikal yang ditunggangnya dirempuh oleh kereta dipercayai dipandu oleh pemandu mabuk.
Kejadian berlaku di di Lebuhraya Sultan Iskandar ke arah Jalan Tun Razak di Kuala Lumpur.
Selain itu, seorang penunggang motosikal cedera selepas dirempuh pemandu warga emas yang mabuk di Jalan Raja Syed Saffi, Bintong, Kangar, malam tadi. – Oleh HAIKA KHAZI