1 JUN: Tan Sri Muhyiddin Yassin terus mendapat sokongan padu daripada kepimpinan dan akar umbi untuk terus kekal sebagai Perdana Menteri dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).
Yang terbaharu, beliau menerima sokongan daripada BERSATU Melaka dan Kelantan dan Sabah.
Tujuh pemimpin kanan parti itu Melaka termasuk Timbalan Ketua Badan Pimpinan BERSATU negeri, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen dan Ketua BERSATU Bahagian Masjid Tanah menegaskan bahawa Muhyiddin perlu diberi peluang dan ruang seluas-luasnya untuk memacu negara dan parti ke tahap tertinggi.
“Rakyat dan ahli BERSATU akar umbi menaruh keyakinan dan kepercayaan yang tinggi kepada kepimpinan dan pengalaman luas Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk terus memimpin dan memulihkan kedudukan negara dalam pelbagai aspek,” kata mereka dalam kenyataan media hari ini.
Sokongan 13 daripada 14 bahagian BERSATU di Kelantan turut memperkukuhkan lagi kedudukan Muhyiddin.
Dua daripada ketua bahagian yang berbuat demikian ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz.
Sementara itu di BERSATU Sabah menegaskan pendirian untuk kekal menyokong Muhyiddin serta keputusan parti berundur dari Pakatan Harapan (PH).
Ketetapan tersebut disuarakan oleh Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.