1 JUN: Data awal Singapura mengesahkan sejumlah 518 lagi jangkitan Covid-19 hari ini dengan hanya 3 daripadanya adalah dalam kalangan komuniti tempatan yang menjadikan jumlah keseluruhan kes di republik itu setakat ini ialah 34,884.
Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan Singapura (MOH), data setakat tengah hari menunjukkan kebanyakan kes baru membabitkan pekerja asing yang tinggal di asrama.
Kementerian itu masih meneliti butiran kes terbabit dan kemas kini lanjut akan dikongsi kemudian.
Data penuh yang dikeluarkan pada lewat Sabtu menyaksikan Singapura mengklasifikasikan sejumlah 1,682 sebagai kes komuniti, 580 sebagai kes import dan 32,104 kes membabitkan pekerja asing yang tinggal di asrama.
Secara keseluruhan, sebanyak 20,727 pesakit atau kira-kira 60% daripada jumlah keseluruhan 34,366 kes yang dicatat pada Sabtu, pulih sepenuhnya.
Kementerian itu berkata sejumlah 13,242 pesakit yang mempunyai gejala ringan atau sihat dari segi klinikal namun diuji positif Covid-19 diasingkan dan dirawat di pusat kemudahan komuniti.
Setakat tengah hari Sabtu, sejumlah 374 kes yang disahkan masih berada di hospital dengan tujuh ditempatkan di unit rawatan rapi manakala 23 orang meninggal dunia.
Bagi kluster baru, hanya 1 dikenal pasti semalam yang membabitkan sebuah asrama pekerja di 15A Senoko Way.
Sementara itu, kluster terbesar di republik tersebut iaitu Asrama Pekerja S11 @ Punggol mempunyai 2,686 kes yang disahkan manakala asrama pekerja terbesar di Singapura iaitu Sungei Tengah Lodge di 500, Jalan Lama Choa Chu Kang mempunyai 1,970 kes.
Mengemas kini 4 kes di Kompleks Penjara Changi, kenyataan MOH menyebut bahawa: “Kami mendapati mereka tidak mempunyai kaitan secara epidemiologi antara satu sama lain dan tidak mewujudkan 1 kluster.”
“Kes terbabit dimasukkan dalam kemas kini harian kami sebelum ini mengenai kes baru Covid-19,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS) pada Sabtu menyebut 3 tahanan baru dan seorang jururawat am yang bertugas di Kompleks Penjara Changi diuji positif Covid-19 antara bulan April dan Mei.