1 JUN : Pegawai-pegawai Kementerian Pengangkutan diarah menyediakan satu Memorandum Jemaah Menteri berhubung pindaan Akta 333 mengenai hukuman terhadap pemandu di bawah pengaruh alkohol atau memandu secara melulu dan merbahaya.
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ir Wee Ka Siong berkata, ini bagi membolehkan pindaan terhadap Akta Pengangkutan Jalan 1987 itu mendapat kelulusan Kabinet pada bulan ini.
Apa yang pasti katanya, semua hukuman bagi kesalahan tersebut akan ditambahbaik dan ditingkatkan bagi member pengajaran serta menghindarkan gejala pemanduan di bawah pengaruh alkohol dan dadah.
Menurut Ka Siong, keputusan itu demi kepentingan rakyat khususnya pengguna jalan raya dan cadangan pindaan terhadap Akta 333 itu mengambil kira pandangan pemegang taruh termasuk orang ramai.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan di Facebooknya selepas mempengerusikan mesyuarat khas pindaan akta tersebut.
Sebelum ini, pelbagai pihak mencadangkan kerajaan menggenakan hukuman lebih berat terhadap pemandu di bawah pengaruh alcohol atau memandu dalam keadaan mabuk dan terbabit kemalangan yang meragut nyawa.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin turut memberi perhatian berat terhadap perkara itu serta mengarahkan supaya hukuman sedia ada dikaji dan dipinda agar pemandu mabuk dikenakan tindakan lebih tegas.