1 JUN: Ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar dilantik sebagai pengerusi baharu subsidiari Petronas, MISC Bhd, menggantikan Datuk Ab Halim Mohyiddin.
Pelantikan yang berkuat kuasa hari ini telah diumumkan oleh syarikat perkapalan tersebut dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
Bekas menteri Kabinet berusia 62 tahun itu pernah berkhidmat sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi mulai 2008 hingga 2009.
Noh kemudiannya menjadi Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani dari 2009 hingga 2013.
Dari 2014 hingga 2016, beliau menjadi Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Selangor sebelum kembali ke Kabinet sebagai Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan dari 2016 sehingga 2018.
Sementara itu, Ab Halim, 74, kekal dalam lembaga pengarah syarikat sebagai Pengarah Bebas.
MISC, yang dimiliki sebanyak 57.56 peratus oleh Petronas menyediakan penyelesaian dan perkhidmatan maritim berkaitan dengan tenaga. – Bernama