1 JUN: Seorang pekerja kontrak maut selepas motosikalnya dirempuh sebuah kereta yang dipercayai dipandu lelaki mabuk.
Kejadian kira-kira 1.30 pagi di Lebuhraya Sultan Iskandar menghala ke ibu negara itu menyebabkan Mohamed Zaili Mohamed, 44, maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.
Mangsa dikatakan dalam perjalanan pulang ke Bukit Antarabangsa, Ampang selepas menghantar makanan dijual isterinya.
“Akibat rempuhan itu, mangsa terjatuh ke sebelah kiri bahu jalan, manakala motosikalnya diseret kira-kira 2km dari lokasi kejadian.
“Suspek kemudiannya memberhentikan kenderaannya di bawah jejantas Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Titiwangsa dekat kawasan itu selepas ditahan orang awam,” kata Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Zulkefly Yahya dalam kenyataan hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.